Friday, March 13, 2009

Usrah Rasa Hati - 2 : Hati yang sejahtera (qalbun salim )


Petikan dari usrahrasahati

Diudara pada 11/3/2009 (IKIM.fm)


Hati yang merajai dan memimpin anggota manusia terbahagi kepada tiga jenis;Hati yang sejahtera ( qalbun salim ), Hati yang sakit ( qalbun saqim) dan hati yang mati ( qalbun mayyit )

Hati yang sejahtera ( qalbun salim ) atau (nafsun mutmainnah)

Firman Allah swt;
(يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88) إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (89) [الشعراء: 88، 89].

Maksudnya; Pada hari itu harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali mereka yang dating kepada Allah dengan hati yang sejahtera.

Hati yang baik di dalam ayat di atas bermaksud orang yang meninggal dunia dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt, akhir kehidupannya dapat mengucap kalimah syahadah, kehidupan mereka di akhirat nanti akan mendapat kebahagiaan dan keredhaan Allah swt. Itulah kesudahan bagi mereka yang memiliki hati yang baik ( qalbun salim ). Ya Allah anugerahkanlah kami hati yang sejahtera, hati yang baik yang dapat memimpin kami ke jalan yang yang Engkau radhai.

Antara ciri-ciri hati yang sejahtera;
  • Sentiasa mengingati Allah swt dalam apa jua keadaan, ketika berdiri, duduk mahupun ketika berbaring, lidahnya sentiasa basah mengingati Allah swt.
  • Sentiasa membaca al-Quran dan mentadabburkan makna-maknanya.
  • Sentiasa peka dengan kewajipan-kewajipan yang ditaklifkan serta menunaikannya dengan cara yang paling sempurna.
  • Sentiasa berhati-hati terhadap larangan-larangan agama dan menjauhkannya.
  • Sentiasa bermuhasabah diri dan segera bertaubat kepada Allah swt.
  • Berperibadi dengan akhlak yang mulia.
  • Sentiasa berbaik sangka dan menjauhkan dari berburuk sangka, hasad dengki dan semua sifat-sifat mazmumah dalam hati.
  • Sentiasa bersyukur kepada Allah swt dan redha dengan ketetapan ilahi.

Usrah Rasa Hati - 1 : Kenali Hati

petikan dari usrahrasahati

Diudara pada 4/3/2009

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah swt, pada hari ini untuk kali pertama kita berusrah di udara, semoga usrah yang kita adakan dapat memberi manfaat kepada kita dan para pendengar kearah menjadi umat Islam yang berkualiti.

Usrah hari ini akan membincangkan satu tajuk berkaitan dengan hati. Kenali hati, itulah tajuk yang akan kita bincangkan.

Hati memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan manusia. Dengan hati manuisa dapat hidup dengan erti kata yang sebenarnya dan tanpa hati atau hati yang mati, hidup seseorang tidak bererti.

Hati dalam kehidupan manusia terbahagi kepada dua. Kedua-duanya merupakan elemen penting dalam kehidupan manuisa.

Pertama; hati jasmani yang menjadi organ penting dalam tubuh manusia,ikenali juga sebagai "liver", hati yang berperanan sebagai penapis darah, menghasilkan hempedu dan berbagai macam fungsi untuk memastikan keseimbangan badan manusia supaya sentiasa sihat. Sekiranya hati ini gagal berfungsi maka berbagai komplikasi kesihatan akan terjadi dalam tubuh manusia.

Kedua hati rohani atau dikelani sebagai fuad, af'idah, basirah, lub, albab ,mata hati. Hati yang tidak dapat dirasa dengan panca indera tetapi menjadi peneraju dan pemandu kepada kehidupan manusia. Sering juga dipanggil hati nurani. Berkaitan hati ini, Rasulullah saw bersabda diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim;

أَلاَ وَإِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ ،وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ

"Dalam diri manusia itu terdapat seketul daging. Apabila daging yang seketul itu baik maka akan baiklah seluruh tubuh badannya. Dan apabila rosak daging yang seketul akan rosaklah tubuh badannya. Dan daging yang seketul itu ialah hati."
Dalam usrah kali ini kita akan membincangkan hati dari sudut bahagian kedua iaitu hati dengan makna hati rohani atau hati nurani kerana perbincangan hati dari aspek makna jasmani menjadi perbincangan para doktor perubatan.

Rasulullah saw dalam hadis di atas menjelaskan fungsi kedua-dua hati yang telah kita ketahui, samada hati jasmani yang berupa seketul daging, mahupun hati rohani yang mengawal segala tindakan manusia. Begitulah hebatnya Rasulullah saw dalam menerangkan hakikat kejadian manusia berasaskan wahyu Allah swt dan hakikat kejadian hati ini telah terbukti oleh penyelidikan sains hari ini. Ini adalah tanda kebesaran Allah swt, bukti bahawa segala yang dibawa oleh Rasulullah saw adalah satu kebenaran. Justeru amat rugilah mereka-mereka yang menolak wahyu dan pertunjuk Allah swt.


Hati dalam diri manusia adalah raja yang menentukan tingkah laku dan perbuatan manusia. Hati merupakan penggubal dasar dan prinsip kehidupan yang akan dilalui oleh seseorang manusia. Hati berperanan sebagai pembuat keputusan apabila manusia perlu membuat keputusan dalam sesuatu perkara.
Terlalu besar peranan hati dalam kehidupan manusia sehingga Rasulullah saw menyatakan "apabila hati itu baik maka baiklah segala anggotanya dan apabila hati itu rosak maka rosaklah segala anggota manusia.

Hakikat ini memang benar, kerana hati yang baik, akan dipenuhi dengan iman dan taqwa, apabila hati dipenuhi dengan keimanan dan ketaqwaan yang mantap, maka ia akan memandu seluruh anggota untuk melakukan perkara-perkara yang baik dan diredhai Allah, apabila hati itu baik, ia akan dipenuhi dengan segala macam sifat mahmudah, yang akan dijelmakan dalam berbagai bentuk akhlak yang mulia.

Sebab itulah orang yang hatinya baik akan sentiasa melakukan solat, khusuk dalam solatnya dan solatnya dapat menghindarkan diri dari segala macam dosa dan maksiat, hatinya akan sentiasa mendorong pemiliknya untuk bersifat dengan sabar, lemah lembut, penyayang, pemurah dan berbagai-bagai budi pekerti yang mulia.

Orang yang hatinya baik tidak kebaratan untuk bersedekah dan mengeluarkan zakat bahkan hatinya rasa tenang dan gembira apabila bersedekah dan berzakat.

Orang yang hatinya baik tidak akan melakukan rasuah, tidak akan menipu, tidak akan melakukan khianat, tidak akan berbohong dan tidak akan melakukan berbagai perbuatan tidak bermoral kerana takut dengan muraqabah Allah dan siksaan yang dijanjikan di akhirat nanti, disamping menyedari ia akan menyebabkan malapetaka dan kerosakan kepada umat manusia.

Orang yang hatinya baik, akan sentiasa menghormati orang lain, menghormati jiran tetangga, walaupun jiran bukan islam , kerana mereka tahu ia adalah tuntutan agama.

Ringkasnya orang yang hatinya baik itu ialah orang yang hatinya dipandu oleh iman dan hidayah Allah swt, manusia yang cukup sempurna menepati tujuan penciptaan manusia di atas muka bumi ini, Contoh yang paling hampir kepada kita ialah Rasulullah saw. Manusia agung yang dihiasi dengan budi pekerti dan akhlaq mulia kerana hatinya yang bersih, disucikan oleh malaikat Jibril dengan kehendak dari Allah swt.

Sebaliknya orang yang mempunyai hati yang rosak, hati yang ditutup oleh Allah swt, hati yang dikuasai oleh hawa nafsu, mendorong kepada dosa dan maksiat, hawa nafsu yang mendorong kepada keseronokan songsang, maka kita lihat manusia ini hidupnya tidak karuan, hidupnya tiada matlamat, tiada ketenangan dalam diri, dan jauh dari itu mereka sentiasa menjadi perosak kepada masyarakat, mereka menjadi duri yang sentiasa menyakiti orang lain, menjadi masalah kepada masyarakat, mereka menjadi racun yang mematikan hati-hati yang baik dan membawa mereka kepada kehinaan, dan yang lebih malang mereka yang mempunyai hati yang rosak ini menjadi tunggangan syaitan yang sentiasa berkerja dan berusaha membawa manusia bersama-sama mereka ke neraka jahannam.

Sebab orang yang hatinya rosak tidak ada hati perut, orang yang hatinya mati tidak ada perasaan belas kasihan, orang yang hatinya sakit ini tidak mengenal halal dan haram dalam kehidupan mereka sebagaimana yang ditunjukkan oleh orang-orang yahudi yang memang telah ditutup hatinya dari pertunjuk dan hidayah Allah swt, nauzubillahi min zalik .

Orang-orang yang hatinya sudah rosak tidak merasa bersalah apabila mereka mencuri, merompak, menyamun, menipu, rasuah, salahguna kuasa, kerana hawa nafsu sudah menguasai mereka.

Begitulah besarnya peranan hati dalam kehidupan manusia. Oleh itu marilah sama-sama kita mengenali diri kita dan perbaiki diri kita supaya dengan hati yang baik keita menjadi manusia yang baik seterusnya dapat memberi manfaat kepada orang lain. Rasulullah saw bersabda;

خير الناس أنفعهم للناس

Maksudnya ; Sebaik-baik manusia ialah manusia yang paling berguna kepada orang lain.

Selamat Mempergingati Maulidur Rasul s.a.w

Petikan dari usrahrasahati

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

Allah menciptakan Nabi Muhammad s.a.w sebagai sebaik-baik manusia, terbaik akhlak dan budi pekertinya. Beliau memiliki kesempurnaan diri dan jiwa sehingga beliau merupakan makhluk yang paling baik dan sempurna.

Justeru sempena bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w, Team Usrah Rasa Hati mengucapkan selamat memperingati Rasulullah s.a.w, semoga hati kita sentiasa mencintainya lebih dari mencintai yang lain, marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Baginda s.a.w semoga hati kita dilimpahi nur dan hidayah keimanan, dianugerahkan ketenangan dengan mengingatinya sebagai mana tenang mengingati kekasih.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud " Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. ” (Riwayat Tabrani).

“Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim).

Apa yang lebih penting dalam memperingati kalahiranNya ialah menjaga adab-adab terhadap Nabi kita, Muhammad s.a.w dan menghayatinya, antaranya;

  • Menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai orang yang paling dicintai, dihormati dan diagungkan dari seluruh makhluk Allah.
  • Mentaati Nabi Muhammad s.a.w di samping mengikuti jejak langkahnya dalam urusan dunia dan agama.
  • Mengagung dan menghormati Nabi Muhammad s.a.w. apabila namanya disebut dan berselawat serta salam ke atasnya, dan mencontohi sifat-sifatnya.
  • Membenarkan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
  • Merendahkan suara di makam dan masjidnya bagi yang berpeluang menziarahinya.
  • Mencintai para pengikutnya karena mereka mencintai Nabi Muhammad s.a.w serta memusuhi golongan fasiq kerana mereka membenci Nabi Muhammad s.a.w.

Salam hormat,

Team Usrah Rasa Hati